Thursday 14 July 2016

Dia yang sudah pergi

Seorang sahabat yang sama-sama menyewa di UTHM dulu, telah pergi dijemput Ilahi ketika dalam tidur pada 03 Julai 2016. Dikejutkan oleh suami untuk sama-sama bersahur, tetapi ketika itu jasadnya telah tidak bernyawa lagi. Allahuakbar, mati tidak terlambat atau tercepat walau sesaat.

Sayu hati aku bila melihat gambar anak-anak arwah yang masih kecil. Terutama sekali yang baru berusia 6 bulan, yang masih lagi menyusu badan. Terkilan rasa hati, sudah lama tidak bertanya khabar dengan arwah. Selalu menjadi pemerhati senyap pada aktiviti-aktiviti harian yang dikemaskini di facebook.

Ada sekeping gambar, ayah arwah sedang mendukung anaknya yang bongsu, dengan penuh pengharapan moga diberi kesihatan dan kekuatan dalam membesarkan anak-anak arwah. Allahuakbar, menitis lagi airmataku ini.

Kadang kala kita terlalu mementingkan diri, hanya sibuk dengan diri sendiri. Tiada masa mengeratkan silaturahim sesama rakan, jiran tetangga mahupun sanak saudara. Ada masanya, kita ini terlalu banyak berkira, menghitung setiap nilai sen ketika ada saudara kita meminta sedikit huluran bantuan. Kadang kta juga mudah leka dengan urusan dunia tanpa mengingat yang mati itu bila-bila sahaja.

Hikmah pemergian dia seorang sahabat yang pemergiannya mengejutkan kami sekalian taulannya. Di saat hampir tiba hari lebaran, arwah pergi tanpa pesanan.
Hargailah mereka yang disekeliling kita, jangan dibina tembok pemisah darjat dengan sesiapa. Matinya kita nanti hanya membawa kain putih dan amalan kita di dunia.

Ya Allah, moga Kau kurniakan sahabatku ini rumah di dalam taman syurgaMu, moga Kau ampunkan dosa-dosanya, Kau gugurkan dosa-dosanya satu persatu. Kau peliharalah sahabatku ini dalam rahmat dan kasih sayangMu. Buat yang ditinggalkan, Kau berikanlah mereka ketabahan dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujianMu ini. Peliharalah anak-anak arwah dan keluarganya sekalian. Moga kami bisa bertemu lagi di syurgaMu nanti ya Allah.

p/s: Teringat menu ciptaan arwah yang menjadi favoretku sampai kini, scramble egg + kicap kipas udang + roti gardenia.

Al-fatihah untuk sahabatku Qistin Ramelan...

No comments:

Post a Comment