Tuesday 22 January 2013

Koleksi dari Analisis Hadith Psikologi

Ya Allah, moga Kau berikan rahmat ke atas tim hadith psikologi yang berusaha mengguna pakai sumber-sumber hadis sohih dalam aplikasi kehidupan seharian...aminnn

Nabi Muhammad Menunjukkan Cara Mudah Bertaubat kepada Remaja Rosak Akhlak dengan Mendorong Perubahan Tingkah Laku Tanpa Memberi Nasihat

Rumusan ringkas:

  • Tidak memberikan motivasi perubahan tingkah laku dengan cara berleter ataupun dengan menyampaikan ceramah panjang lebar kepada kelompok orang yang buruk akhlaknya.
  • Tidak menasihati mereka itu supaya berhenti daripada melakukan perbuatan buruk mereka 
  • Menerangkan cara mudah bagaimana mereka dapat membersihkan dosa mereka.
  • Beri respon dengan membacakan ayat dari Quran, bukan ayat yang direka-reka sendiri. Ayat Quran itu pula ayat yang menunjukkan mudahnya cara membersihkan dosa.
  • Terangkan secara umum sahaja bagaimana proses membersihkan diri daripada dosa, tidak perlu diterangkan secara terperinci.
  • Cara bertaubat yang diterangkan itu adalah cara yang disebutkan dalam Quran, bukan yang kita cipta

Contoh:

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar yang ada di situ telah memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud).Nabi Muhammad membacakan sepotong ayat dari al-Quran yang relevan dengan keperluan pesalah itu. Beliau tidak menggunakan kata-katanya sendiri.


Teknik Nabi Muhammad Menghiburkan Hati Orang yang Berasa Dirinya Kurang Bernasib Baik Berbanding Orang Lain

Abu Dzar melaporkan bahawa pada suatu masa beberapa sahabat Nabi Muhammad bertanya kepada beliau, "Wahai Pesuruh Allah, orang-orang kaya telah meninggal dunia dengan membawa banyak pahala. Mereka bersembahyang sama seperti kami, mereka juga berpuasa sama seperti kami, dan mereka dapat bersedekah dengan harta-harta mereka yang lebih banyak." 


Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Bukankah Allah memberikan kepada saudara semua peluang bersedekah? Setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah, setiap bacaan tahlil adalah sedekah, membuat kebaikan adalah sedekah, menjauhi keburukan adalah sedekah, dan persetubuhan saudara dengan isteri adalah sedekah." -- Hadith no. 545 dalam kitab Hadith Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan teknik Nabi Muhammad menghiburkan hati orang yang berasa diri mereka kurang bernasib baik apabila mereka membandingkan diri mereka dengan orang lain.

Dalam hadith ini orang-orang itu berasa kurang bernasib baik disebabkan mereka tidak dapat bersedekah sebanyak golongan yang kaya dan berharta. 

Cara Nabi Muhammad menghiburkan mereka adalah dengan:

1. Tidak menasihati mereka supaya jangan berasa iri hati dan cemburu terhadap kekayaan orang lain.

2. Tidak menegur ataupun mengkritik sikap mereka yang 'tidak bersyukur dengan apa yang ada'. 

3. Kepada orang miskin, Nabi Muhammad menerangkan berkenaan 'peluang bersedekah' yang banyak bagi orang yang miskin harta.

4. Menerangkan jenis-jenis peluang bersedekah yang tidak memerlukan seseorang itu menggunakan harta kekayaan.

5. Peluang bersedekah itu jenis yang terbuka 24 jam sehari semalam. 

6. Jenis-jenis sedekah itu adalah sedekah yang sangat mudah dilakukan, yakni dengan membaca tasbih, takbir, tahmid, tahlil dan dengan melakukan persetubuhan dengan isteri.

No comments:

Post a Comment